Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap keputusan kerajaan membatalkan kebenaran operasi kilang minuman arak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan tidak dipolitikkan.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat tidak mahu sesetengah pihak di luar sana terus meletakkan kesalahan tersebut terhadap penjawat awam.

“CUEPACS mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah membuat keputusan yang berani dengan membatalkan semula kebenaran operasi kilang minuman arak. Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan wajar dipuji kerana ia memberi petunjuk bahawa kerajaan sentiasa peka dan mendengar setiap pandangan dan keluh kesah rakyat.

“Saya berharap sesetengah pihak di sana tidak politikkan isu ini dan harus ingat penjawat awam tidak kira di peringkat tertinggi atau peringkat bawahan sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, setiap keputusan yang dibuat pasti ada baik dan buruknya kepada persepsi rakyat.

“Rakyat perlulah berlapang dada dalam hal ini kerana tidak semua keputusan yang diambil oleh kerajaan mampu memuaskan hati semua pihak. Apa yang lebih penting dalam hal ini adalah kerajaan telah mendengar pandangan daripada semua pihak,” ujarnya.

Sebagai penjawat awam, katanya, tidak kira dilantik semasa kerajaan terdahulu atau kerajaan semasa, kami sentiasa berikrar untuk menjalankan amanah dengan sifat yang neutral dan tidak berunsur politik demi agama, bangsa dan negara.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. mmg patut tutup terus selama2nya…x dtg kan feadah….ada ke org normal sengaja mabukkan diri nak buat apa….org kalu boleh x nak mabuk…ini dia pulak nak mabuk…..kalu dah jln pun dah x betul terhuyung hayang kat mn bagusnya

Comments are closed.