PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dipercayai akibat sesak nafas dua hari lepas, disahkan negatif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusof Unis berkata ujian pengesahan COVID-19 dilakukan di Hospital Bentong semalam, dan keputusan negatif itu membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap mayat pemuda itu untuk memastikan sebab kematian.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Afzan lewat petang semalam di Hospital Bentong dan mayat lelaki itu diserah kepada keluarganya selepas proses bedah siasat selesai.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan dan kami menunggu keputusan analisis toksikologi oleh Jabatan Kimia serta analisa sampel tisu badan oleh pihak patologi. Buat masa ini, kes masih diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lelaki yang ditangkap pada 2 April lepas untuk membantu siasatan kes curi itu meninggal dunia pada 1.10 pagi Ahad lalu, selepas mengalami sesak nafas kira-kira 20 minit sebelum itu.

Yusof berkata pihaknya telah mengambil tindakan mengasingkan tahanan daripada sel yang sama dengan lelaki terbabit selepas kejadian itu sebagai langkah berwaspada terhadap penularan COVID-19.

— BERNAMA