Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya membangunkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas membenarkan syarikat-syarikat meneruskan operasi sepanjang tempoh perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu perlu bagi mengelak penularan wabak Covid-19 menjadi semakin teruk.

Beliau berkata, tindakan membenarkan industri dalam negara beroperasi bukan satu jaminan wabak ini telah berjaya dilupuskan, sebaliknya pencegahan dan kawalan tetap perlu dipatuhi untuk mengurangkan risiko pekerja dijangkiti wabak berkenaan.

“Negara belum lagi pulih dari wabak Covid-19, oleh itu pengoperasian semula sebenarnya meningkatkan risiko penyebaran wabak secara tidak langsung.

“Jangkitan boleh ditembusi melalui ketidakselarasan pemakaian topeng muka, penularan di luar kawalan serta kehadiran pelawat dari luar.

“Semua faktor ini perlu diambil kira dan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic menjelaskan, pihaknya bercadang untuk menyediakan senarai rujukan panduan kembali kerja yang akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat untuk dipertimbangkan demi pengoperasian semula semua industri dalam negara.

Ujarnya, Gerakan akan mengusulkan Panduan Kerja dan Tadbir Urus Operasi sebagai kandungan utama dalam langkah-langkah pencegahan wabak.

“Ianya termasuklah langkah perlindungan dengan pengukuran suhu, pengamalan pencegahan dan keselamatan dengan pemakaian topeng muka dan sebagainya,” katanya.

Selain itu tambah beliau, semua urusan keluar masuk pelawat dan pekerja perlu direkodkan dan diperiksa.

“Kami berharap kerajaan pantau dengan teliti pengoperasian semula syarikat dan industri dalam negara.

“Manakala, syarikat yang gagal mematuhi piawaian yang telah digariskan harus digantung lesen operasinya.

“Ini demi mengelakkan jangkitan kluster berlaku sama seperti di Negara China selepas kembali bekerja,” tambah beliau. – MalaysiaGazette