Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa sekatan jalan raya Op Covid-19 atau di mana mana kawasan lain kini akan dikenakan kompaun RM1000 berkuatkuasa hari ini.

Pengarahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, pesalah PKP akan diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran kompaun berkenaan.

Jika gagal berbuat demikian individu berkenaan akan berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

Sebelum ini, kata Acryl Sani, pesalah PKP akan direman dan didakwa di mahkamah sebelum didenda atau dihukum penjara empat bulan seperti diperuntukkan dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Kini kita (polis) telah terima prosedur operasi standard (SOP) bagaimana nak laksanakan kompaun terhadap persalah PKP dan ia akan digunakan terhadap mereka yang ingkar (arahan) PKP sehingga 14 April ini.

“Dia akan dibawa ke pejabat IPD untuk keluarkan kompaun sebanyak RM1000, dan perlu dibayar, tiada rayuan. Jangan harapkan seperti kompaun yang dikenakan hari biasa sebelum ini diberi diskaun dan rayuan.

“Kalau pesalah PKP tak bayar bererti boleh mohon untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman dekat sini.

Menurutnya kaedah berkenaan sebenarnya dapat mengatasi masalah kesesakan di penjara seperti yang digesa oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat supaya polis dan mahkamah mengambil kira isu tersebut ketika menjatuhkan hukuman.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2020

Ia selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah tidak memenjara pelaku kesalahan itu memandangkan kesesakan di penjara menyukarkan usaha melakukan penjarakan sosial.

Acryl Sani juga mengarahkan orang ramai tidak keluar dari rumah untuk urusan tidak penting dan mereka yang melanggar arahan itu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun katanya, pesalah juga boleh dikenakan pendakwaan lain seperti menghalang pegawai awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Ditanya bentuk hukuman terhadap individu yang pernah ditahan bersalah PKP sebelum ini, tegas beliau kadar kompaun sama tetap dikenakan terhadap mereka tanpa kompromi.

Mengulas tentang kadar jenayah sepanjang penguatkuasaan tempoh PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam, kata beliau berlaku penurunan jenayah sebanyak 67 peratus.

“Secara purata 350 kes jenayah indeks sehari kini telah menurun kepada purata 116 kes jenayah indeks sehari. Kita terus mempertingkatkan rondaan MPV, polis bermotosikal serta pemeriksaan Snap di kawasan perumahan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

“Jenayah kurang sebab rumah sentiasa berpenghuni selain kita laksanakan lebih 700 sekatan PKP dilaksanakan dan ia sekaligus menyekat kemahuan dan peluang seseorang keluar melakukan jenayah kerana maklumat boleh diviralkan pantas dan bertindak pantas.

“Namun hasil rondaan masih ada individu jogging lagi jadi kita tahan dan arahkan semua penduduk tidak ada urusan perkhidmatan penting perlu duduk diam-diam di rumah, tak perlu bergerak tanpa sebab,” tegas beliau. – MalaysiaGazette