KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Twitter bernama Fazrin Ismail mengaku tidak bersalah atas lapan tuduhan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaliknya, tertuduh yang nama sebenarnya, Sufazrin Ismail meminta dibicarakan selepas kesemua pendakwaan dibacakan dihadapannya di Mahkamah Sesyen sebentar tadi.

Mengikut kesemua pertuduhan tersebut, Sufazrin pada 23 hingga 25 Mac secara sedar membuat kenyataan jelik kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh yang berusia 26 tahun itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda sehingga RM1,000 bagi setiap hari kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak boleh lagi membuat hantaran di laman sosial.

Tarikh sebutan bagi pengurusan kes termasuk pelantikan peguam bela ditetapkan pada 12 Mei 2020.

Terdahulu ketika prosiding pertuduhan berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon mahkamah menetapkan RM10,000 jaminan untuk setiap pertuduhan.

Namun tertuduh membuat rayuan agar jumlah dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga.

Untuk rekod, tertuduh direman pada 3 April lalu hingga semalam. – MalaysiaGazette