Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim bercakap pada sidang media berkenaan OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Menara 1, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2020

SHAH ALAM – Seramai 24 orang  yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan kompaun di Selangor sejak hukuman itu dimulakan semalam.

Menurut Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim, sebanyak 980 laporan polis diterima berkaitan PKP.

“Berdasarkan kes kumulatif laporan polis kes Covid-19 mulai 18 Mac hingga 8 April 2020 jam 12 tengah malam tadi sebanyak 695 kes telah disiasat dan daripada itu pihak polis kotinjen Selangor membuat 1,430 tangkapan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Bermula semalam, polis menguatkuasakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar PKP.

Ismail memaklumkan sebanyak 75  kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Menghalang Penjawat Awam Menjalankan Tugas dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Ujarnya, setakat ini  tahap pematuhan PKP di Selangor kekal 93 peratus.

Beliau turut memaklumkan 94 sekatan jalan raya dilakukan di negeri itu dalam tempoh 24 jam bagi mengawal pergerakan orang ramai dan memastikan keseluruhan penduduk negeri mematuhi PKP.

Smentara itu, Ismail tidak menolak berkemungkinan PKP  yang sepatutnya tamat 14 April ini akan dilanjutkan.

“Walaubagaimanapun pengumuman rasmi akan dibuat oleh Perdana  Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok,” tambah beliau. -MalaysiaGazette