Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun hadir pada Lawatan Prihatin di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM30 juta bantuan berupa makanan telah disalurkan kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan Cocid-198.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, bantuan itu telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Lebih daripada RM30 juta bantuan di mana kita telah edarkan di seluruh negara termasuk sampai ke kawasan jauh di pedalaman.

“Sebagai contoh di Libaram, Sarawak dan mendapat kerjasama yang baik dengan bantuan helikopter ATM yang mana kita tidak tinggalkan mana-mana kawasan,” katanya selepas mendengar taklimat di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras, di sini hari ini.

Rina berkata, semua persiapan mengenai saliran bantuan makanan telah direncanakan oleh JKM di bawah kementeriannya sejak bermula PKP.

“Kita daripada mula di PKPD, pada hari pertama kita telah salurkan barang makanan kepada semua kawasan PKPD.

“Bila dilanjutkan ada bekalan akan habis dan terputus, jadi tugas JKM untuk bekalkan,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengetua Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Mohd Hafizul Abd Ghani (kiri) pada Lawatan Prihatin di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2020.

Justeru itu, beliau berkata, JKM telah bersiap sedia sekiranya PKP dilanjutkan sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, hari ini.

“Kita telah mengambil kira dengan keadaan semasa kita tidak tahu PKP akan dilanjutkan atau tidak tapi kami tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“JKM di peringkat negeri juga beroperasi selama 24 jam sehari dan bilik gerakan JKM di Putrajaya yang juga beroperasi selama 24 jam.

“Selain itu, talian Kasih kita juga beroperasi seperti biasa dan mendapat aduan melalui talian Kasih kita,” katanya lagi.

Awal hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Kluang, Johor akan dilanjutkan sehingga 14 April membabitkan 3,500 penduduk.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli sejak PKP dikuatkuasakan.

Bantuan fasa pertama bernilai RM5 juta diagihkan dari 2 hingga 10 April lalu kepada 49,670 ketua isi rumah melibatkan 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

Manakala bantuan fasa kedua pula bernilai kira-kira RM6 juta akan bermula pada 10 April ini dengan penambahan penerima seramai 55,000 ketua isi rumah. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. dalam felda tak siapa nak bantu ke. cuma generasi kedua ada orang buat sumbangan. orang lain cari sendiri lah. tanah ladang ada 10 ekar tak habis nak makan dah.

Comments are closed.