Keadaan sekitar kawasan Bandar Kajang dalam keadaan lengang semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 22 berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di sekitar kawasan Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2020

KAJANG – Memasuki hari ke-23 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bandar Kajang yang sebelum ini terkenal dengan kesibukan lalu-lintas serta orang ramai melakukan pelbagai urusan kini lengang.

Tinjauan lensa MalaysiaGazette mendapati beberapa tempat popular tumpuan orang ramai kini sunyi sepi.

Kawasan-kawasan pengangkutan awam antaranya hentian bas dan stesen Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh–Kajang lengang tanpa sebarang pergerakan.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di MRT Stadium Kajang, Kajang, Selangor.foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2020

Di Stesen MRT Stadium Kajang, tiada penumpang MRT dikesan.

Ia ekoran jadual pengoperasian yang dihadkan pada pukul 6 hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula 18 Mac lalu.

Restoran-restoran popular yang menjadi ikon kepada bandar ini juga tidak menjalankan operasi mereka di sebelah pagi.

Antaranya Restoran Sate Kajang Haji Samuri yang hanya beroperasi untuk makanan bungkus dan penghantaran sahaja.

Keadaan sekitar kawasan Bandar Kajang dalam keadaan lengang semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 22 berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di sekitar kawasan Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2020

Laluan di sekitar bandar juga tidak mengalami sebarang kesesakan apabila polis daerah Kajang menutup 8 jalan di beberapa lokasi dan menambah sekatan jalan raya (SJR).

Laluan itu membabitkan Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM, Jalan Reko-MRT, Jalan Cheras-Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih-Jalan Low Ti Kok, susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian dan penutupan Jalan TTDI Grove 1/1.

Laluan lain yang ditutup adalah Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3. -MalaysiaGazette