Para petugas memakai sut PPE sebelum melakukan kerja-kerja saringan Covid-19 keatas orang awam yang hadir untuk membuat pemeriksaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Satu lagi daerah iaitu Kuantan di Pahang dikategorikan sebagai zon merah COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 24 kawasan setakat 12 tengah hari semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah berkenaan telah merekodkan 43 kes positif COVID-19.

Turut dikategorikan zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Sepang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak), Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan),   Jerantut (Pahang),  Tawau (Sabah), Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak).

Zon merah merupakan jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Sementara itu, Lembah Pantai masih mencatatkan kawasan tertinggi positif COVID-19 iaitu sebanyak 417 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing merekodkan 361 dan 318 kes.

Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 1,078 kes, manakala Perlis kekal kes terendah iaitu 17 kes.

— BERNAMA