Asrama pekerja asing yang dikenali sebagai Sungei Tengah Lodge diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan bagi mengelakkan berlakunya penyebaran atau kemungkinan menyebabkan penularan COVID-19."

SINGAPURA – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mewartakan sebuah lagi asrama pekerja asing sebagai kawasan pengasingan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat.

Menurut notis dalam Warta Kerajaan, MOH menyatakan bahawa “asrama pekerja asing yang dikenali sebagai Sungei Tengah Lodge diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan bagi mengelakkan berlakunya penyebaran atau kemungkinan menyebabkan penularan COVID-19.”

Notis berkenaan dipaparkan dalam laman sesawang Warta Kerajaan pada 8 April, 11.45 malam.

Terdapat dua blok di Sungai Tengah Lodge, iaitu 506 dan 513, yang diletakkan di bawah pengasingan.

Sungei Tengah Lodge merupakan asrama pekerja terbesar di Singapura dengan 10 blok kediaman 13 tingkat, yang boleh menempatkan 25,000 pekerja.

Sehingga 12 tengah hari Rabu, tambahan 11 lagi kes berkaitan kluster Sungei Tengah Lodge dilaporkan, menjadikan keseluruhan 29 kes.

Tiga lagi kawasan pengasingan adalah S11 Dormitory @ Punggol,  Westlite Toh Guan Dormitory dan Toh Guan Dormitory dengan jumlah kes positif 179.

Selain empat kawasan pengasingan berkenaan, terdapat lima lagi asrama pekerja yang telah dikenal pasti sebagai kluster.

Singapura mempunyai keseluruhan 43 asrama pekerja, yang mampu menempatkan kira-kira 200,000 pekerja asing.

Sementara itu, mengenai tiga kawasan pengasingan, Kementerian Tenaga Manusia republik itu berkata keadaan di kawasan itu terus bertambah baik dengan Pasukan Petugas Antara Agensi yang memperkemaskan rutin waktu makan dan meningkatkan tahap kebersihan.

— BERNAMA