Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut meliputi komuniti maritim berada pada tahap memuaskan, sekaligus membolehkan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tangkapan yang dibuat oleh pihaknya sepanjang tempoh PKP menunjukkan penurunan daripada 107 kes kepada 66 kes.

Katanya, sebahagian besar kes-kes tangkapan adalah melibatkan Akta Perikanan (31 kes), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (17 kes) dan Akta Imigresen (8 kes).

“Selain penggunaan aset udara, Maritim Malaysia turut menggerakkan aset laut ke kawasan titik panas bersempadan dengan Thailand dan Indonesia.

“Ia bagi mengesan dan mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin serta aktiviti jenayah di laut, dalam tempoh PKP dan memerangi pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zubil menegaskan, pihakya mengenal pasti sebanyak 75 kawasan titik panas seluruh negara, merangkumi 64 kawasan di Semenanjung dan 11 di Sabah.

Jelasnya, Johor mencatatkan titik panas yang tertinggi dengan 15 kawasan diikuti Negeri Sembilan (11), manakala Selangor dan Melaka masing-masing 10 titik panas, Kedah/Langkawi (6), Pulau Pinang (5), Perlis (4) dan Perak (3). –  MalaysiaGazette