Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemberi Pinjaman Wang atau Kredit Komuniti yang membabitkan persatuan pajak gadai bersetuju memberi moratorium selama tiga bulan selain bersetuju untuk mengecualikan caj bayaran lewat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, persetujuan tersebut dicapai setelah pihaknya mengadakan perbincangan Kredit Komuniti.

Bagaimanapun, Zuraida mengingatkan syarikat Kredit Komuniti supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) iaitu sebanyak 12 peratus bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam.

“Dalam tempoh PKP ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai melalui talian Hotline KPKT,” katanya salam kenyataan.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan bersetuju premis syarikat Kredit Komuniti dan Pajak Gadai dibenarkan beroperasi selama dua hari seminggu dengan tempoh masa operasi dihadkan bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Tambah beliau, syarikat terbabit perlu mematuhi arahan dan peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), termasuk mengamalkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, memakai topeng muka tiga lapis, menyediakan cecair nyah kuman kepada pelanggan yang berurusan dan melakukan proses nyahkuman secara kerap di dalam premis.

Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan juga perkhidmatan KPKT yang lain di talian Hotline KPKT iaitu
03 8891 3975. – MalaysiaGazette