Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu sedang berusaha menyediakan pakej rangsangan yang seterusnya bagi membantu meringankan beban golongan terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun pakej rangsangan itu bergantung kepada keputusan sama ada PKP akan diteruskan atau sebaliknya yang akan diumumkan esok.

“Di Terengganu kita telah merangka strategi yang sama dengan Kerajaan Pusat iaitu kita tidak memberi (pakej rangsangan) sekaligus sebab kesan (pelaksanaan PKP) ini berantai. Jadi kita fokus kepada yang lebih memerlukan terlebih dahulu.

“Selepas itu barulah kita tengok satu persatu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri, yang disiarkan di laman Youtube miliknya, di sini hari ini.

Kerajaan Terengganu sebelum ini telah mengumumkan empat fasa Pakej Rangsangan Terengganu Cakna, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan ekoran penularan jangkitan COVID-19.

Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Satu dan Tiga menyaksikan pengagihan peruntukan sebanyak RM1.6 juta kepada golongan terjejas dengan COVID-19, yang diberi dalam bentuk barangan keperluan harian.

Fasa Kedua di bawah pakej rangsangan ini pula melibatkan pengecualian dan penangguhan pelbagai jenis bayaran seperti bayaran sewa bagi semua premis perniagaan di bawah seliaan kerajaan negeri.

Manakala bagi Fasa Keempat pula ialah peruntukan tambahan RM9.6 juta untuk diagihkan ke 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi meringankan beban peniaga-peniaga kecil, buruh, peneroka, pemandu teksi dan pengusaha beca.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pemberian insentif kepada penjawat awam negeri, Ahmad Samsuri berkata perkara itu juga akan diputuskan selepas pengumuman mengenai kedudukan pelaksanaan PKP esok. – Bernama