SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR – Pelayaran internet  dalam negara semakin meningkat semenjak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi kesan kepada aliran trafiknya seluruh dunia apabila ada negara lain juga melakukan tindakan yang sama demi menangani penularan Covid-19.

Berdasarkan laporan Mobile Experience during the Covid-19 pandemic, 4G Download Speed yang dikeluarkan oleh ‘Opensignal’, aliran trafik internet seluruh negara direkodkan meningkat 23.5 peratus pada minggu pertama PKP.

Kemudian bertambah 8.6 peratus lagi pada minggu seterusnya yang kebanyakannya digunakan untuk penggunaan persidangan video, sesi pembelajaran dan aktiviti membeli-belah atas talian.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), situasi in turut memberi kesan kepada kelajuan muat turun 4G Malaysia.

“Peningkatan kepada penggunaan data telah menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun.

“Ini telah memberi kesan kepada pengalaman pengguna dalam tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan terutamanya perkhidmatan yang memerlukan jalur lebar tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi

“Berikutan peralihan prilaku pengguna, tren yang sama turut dirasai di seluruh dunia, yang mana pemberi perkhidmatan berhadapan dengan situasi peningkatan penggunaan jalur lebar yang tinggi yang tidak pernah dialami sebelum ini,” kata SKMM menerusi kenyataan.

Justeru pihak pemberi perkhidmatan internet dan telekomunikasi kini akan mengambil beberapa langkah sebagai usaha menambah kapasiti jalur lebar memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh PKP.

Ini termasuklah mengoptimumkan rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan yang mempunyai penggunaan yang tinggi.

Selain itu SKMM memberi jaminan pihak pemberi perkhidmatan internet juga melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi perminaan jalur lebar yang meningkat di premis kediaman khususnya termasuklah menaik taraf sambungan tanpa wayar.

Kapasiti rangkaian antarabangsa juga akan ditingkatkan selain daripada rangkaian rangkaian utama domestik.

Bagi menangani isu rangkaian di kawasan yang kritikal, pihak pemberi khidmat jalur lebar juga akan menyediakan stesen pemancar mudah ali.

Kesemua usaha memperkukuhkan prestasi rangkaian ini dilaksanakan menerusi pelaburan tambahan RM400 juta yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) baru-baru ini. – MalaysiaGazette