Seorang penduduk berjalan melintasi bangunan Melaka yang lengang pada hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandaraya Melaka, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2020.

MELAKA – Suasana hari ini cukup berbeza buat Bandar Hilir yang terkenal sebagai pusat pelancongan di bandar Melaka apabila lengang berikutan penularan virus Covid-19 selain tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Jangankan suara pelancong, bunyi deruman enjin kenderaan yang lazimnya memenuhi suasana persekitaran kawasan tumpuan pelancongan itu juga tidak kedengaran.

Tiada lagi kunjungan pelancong termasuk warga tempatan mahu luar yang sebelum ini menyaksikan bandar itu bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan termasuk penarik beca.

Sebuah beca kelihatan berkunci di tepi jalan raya lengang pada hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandaraya Melaka, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2020.

Namun kelibat golongan itu yang sering memeriahkan suasana langsung tidak kelihatan yang terpaksa berhenti buat sementara waktu.

Bagi yang menjejaki di sini, keadaan di kawasan pelancongan itu sepi sekarang berbanding sentiasa sibuk ketika isu Covid-19 belum menular.

Siapa sangka bandar yang cukup sesak pada hujung minggu dan cuti umum serta persekolahan sebelum ini, kini segala-galanya sunyi dan sepi.

Seorang penduduk berjalan melintasi bangunan trasional Melaka yang lengang pada hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandaraya Melaka, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2020.

Gelagat gambar kenangan sama ada secara swafoto atau dirakamkan oleh sahabat-handai terhenti seketika.

Tinggallah Kota A Famosa, Menara Jam di Bangunan Stadthuy dan Bangunan Memorial Perisytiharan Kemerdekaan tanpa penghuni.

Tidak ketinggalan, Dataran Pahlawan yang turut berbeza suasananya yang tidak putus-putus dikunjungi pelancong tempatan atau asing atau mereka yang menghabiskan waktu membeli-belah di kompleks beli-belah dan sekitar padang berkenaan.

Seekor kucing kelihatan tenang berehat pada hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandaraya Melaka, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2020.

Dataran itu pernah menjadi saksi peristiwa penting Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang mengumumkan pada 20 Februari 1956 mengenai tarikh kemerdekaan Malaya ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Begitu juga keadaannya dengan Sungai Melaka yang sebelum ini berfungsi sebagai antara destinasi pelancongan menarik melalui aktiviti ‘Melaka River Cruise’ (MRC) yang disediakan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Nasib yang sama turut menimpa sepanjang lima kilometer Sungai Melaka yang sebelum ini tidak pernah sunyi daripada dilalui bot untuk berulang alik membawa pelancong menikmati pemandangan di tebing kiri dan kanan sungai itu.

Tempat pelancongan lengang pada hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bandaraya Melaka, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2020.

Tidak kecuali, Jonker Walk di seberang jambatan Sungai Melaka atau kira-kira 200 meter dari Bangunan Stadthuys yang sepi tanpa pelancong terutama mereka yang gemar mengumpulkan barangan antik.

Apa yang pasti, penularan wabak Covid-19 telah membunuh sektor pelancongan di Bandar Hilir yang menyebabkan ramai yang menjadikannya sebagai sumber rezeki telah hilang pendapatan. – MalaysiaGazette