Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 118 kes positif baharu Covid-19 dengan tiga kematian setakat pukul 12 tengahari ini, manakala 222 kes telah pulih dan dibenarkan discaj.

Ini menjadikan jumlah kes positif virus itu sebanyak 4,346 kes dan angka korban mencecah 70 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, seramai 69 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 40 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,830 kes iaitu dengan kadar discaj 42.11 peratus,” katanya dalam sidang media situasi terbaharu penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, kes Kematian ke-68 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159).

Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pada pukiul 8.21 pagi 10 April lalu, katanya.

“Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 4.00 pagi,” jelasnya.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia selain mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1684).

Menurutnya, beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac  dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.38 pagi 10 April lalu. – MalaysiaGazette