Petugas hospital meneliti keputusan x-ray seorang pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Golongan berkedudukan tinggi di negara ini diingatkan bahawa mereka tidak imun daripada serangan Covid-19.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Deri Ismail Sabri Yaakob, wabak Covid-19 tidak mengenal pangkat atau darjat.

Malah beliau menasihatkan agar golongan itu sedar akan hakikat bahawa kekayaan tidak menghalang Covid-19 daripada menjangkiti mereka.

“Ini kesedaran sendiri kerana Covid-19 tidak kenal dari ‘golongan kayangan’ atau bumi. Mereka tidak kenal siapa, tidak adalah dibezakan walaupun kaya raya tidak terkecuali dijangkiti dengan Covid-19.

“Kedudukan yang tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas di Perdana Putra, hari ini.

Sebelum ini viral luahan seorang betugas kesihatan atau frontliner yang kesal dengan sikap pesakit Covid-19 yang terdiri daripada golongan T20 yang baru balik sama ada bekerja atau melancong dari luar negara.

Sakinah Sulong dalam perkongsiannya di laman Facefook hari ini menggambarkan kumpulan pesakit yang juga digelar ‘kluster kayangan’ memberi pelbagai tekanan kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh petugas kesihatan.

Menurutnya, sikap kumpulan ini yang sombong ketika rawatan, jauh berbeza dengan kumpulan kluster tabligh yang sangat mudah untuk memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan.

Dalam pada itu, Ismail berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada golongan ini kerana menghalang tugas seorang penjawat awam.

“Walaubagaimapun dari segi undang-undang saya percaya ada (undang-undang) iaitu menghalang tugas penjawat awam untuk menjalankan tugas masing-masing.

“Mungkin perkara ini boleh digunakan dan saya harap mereka yang berkedudukan tinggi itu sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain. Berikan kerjasama kepada petugas frontliners ini terutamanya doktor dan jururawat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette