Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kesibukan membuat saringan pemeriksaan ke atas penduduk Selangor Mansion dan Malayan Mansion susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ke- 22 berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Saintis tersohor Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Lam Sai Kit berkata, data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan Malaysia perlu meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau menyelaraskannya.

Sai Kit yang mencipta nama atas penyelidikan yang membawa kepada penemuan virus Nipah berkata, usaha PKP diperlukan untuk membantu kerajaan menjejak kumpulan jangkitan dan melakukan lebih banyak saringan.

“Jika PKP dipanjangkan, kita semua harus akur kepada keputusan kerajaan.

“Memandangkan ramai rakyat Malaysia sedang kembali ke tanah air termasuk dari Singapura, oleh itu PKP tidak harus ditamatkan begitu sahaja,”katanya kepada China Press.

Tegasnya, Malaysia mungkin akan “terjeremus” seperti Jepun dan Korea Selatan jika PKP ditamatkan secara terburu-buru.

Jelasnya, memandangkan sumber jangkitan terhad kepada beberapa kumpulan manakala jangkitan komuniti tidak tinggi, maka langkah pencegahan yang diambil boleh dikatakan berkesan.

“Langkah-langkah ini termasuk melakukan  jarak sosial, penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan, pemakaian penutup mulut di tempat awam, penutupan sekolah dan perkhidmatan kurang penting, kerja dari rumah dan larangan berhimpun,” katanya.

Akademi Perubatan Malaysia turut menyaran supaya PKP dilanjutkan supaya usaha sebelum ini tidak menjadi sia-sia.

Akademi tersebut memberi amaran mengenai perayaan penting seperti Aidilfitri dan Pesta Menuai di Sabah dan Sarawak yang akan melibatkan perhimpunan dan kunjung-mengunjung, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye ketika dihubungi China Press pula berkata, kerajaan boleh melonggarkan kawalan secara berperingkat mengikut perkhidmatan dan tempat.

Katanya, kelonggaran boleh diberikan kepada perkhidmatan kurang berisiko seperti bengkel kereta, kilang kecil dan kedai barangan logam yang kurang berisiko kerana tidak banyak orang yang berkumpul.

“Sebelum dibenarkan beroperasi, mereka kena mengambil langkah-langkah pencegahan seperti saringan suhu pekerja, menjarak diri semasa bertugas, dan melakukan pembasmian kuman di tempat kerja.

“Pelanggan yang berkunjung juga harus didaftarkan,”katanya. – MalaysiaGazette