Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengajak rakyat supaya tidak berputus asa dengan tindakan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi.

Kata beliau, rakyat perlu bersikap positif untuk memerangi penularan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 28 April – jelas peperangan kita melawan Covid-19 masih jauh untuk berakhir.

“Jangan putus asa. Jadikan setiap hari yang mendatang sebagai kekuatan baru bagi kita. Saya tahu kita semua berani dan akan berjuang melawan wabak ini.

“Harapan dan keyakinan akan pastikan adanya sinar di hujung terowong. Malaysia, kita boleh lakukan ini bersama-sama InsyaAllah. #KitaMestiMenang,” katanya menerusi laman Instagram.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan PKP selama dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April ini.

Katanya, keputusan ini selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan negara-negara tidak menamatkan PKP terlalu awal.

PKP fasa pertama yang dikuatkuasakan pada 18 Mac yang lalu dilanjutkan kepada fasa kedua untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan. – MalaysiaGazette