Sesi persekolahan akan dimulakan selepas dua minggu kerajaan mengumumkan boleh beroperasi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak akan secara terburu-buru mengumumkan pembukaan semula sekolah pada 15 April, walaupun jika kerajaan menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan pada 14 April.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, keselamatan pelajar merupakan pertimbangan utama Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, pihak kementerian aktif berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk pertubuhan pendidikan dan ibu bapa secara dalam talian melalui telepersidangan.

Katanya, rata-rata pihak berkepentingan bersetuju bahawa keselamatan pelajar lebih penting daripada pelajaran dan peperiksaan.

Hang Soon berkata, ada yang mencadangkan persekolahan ditunda sehingga Jun selain cadangan hanya membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk bersekolah.

“Ada juga yang mencadangkan supaya cikgu kembali ke sekolah untuk mengajar secara dalam talian menggunakan kemudahan Internet dan alat pembelajaran yang ada,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, pihak berkepentingan yang merangkumi wakil taska, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa tidak bersetuju jika sekolah dibuka secara terburu-buru.

“Apabila PKP mula-mula dilaksanakan, rata-rata berpendapat bahawa UPSR dan PT3 adalah sangat penting.

“Tetapi selari dengan perkembangan keadaan semasa, pendapat sesetengah ibu bapa telah berubah.

“Mereka sedar bahwa UPSR dan PT3 tidak banyak memberi kesan kepada perlanjutan pelajaran ke Tingkatan 1 dan Tingkat 4. Mereka malahan berpendapat peperiksaan berkenaan boleh digantikan dengan cara penilaian lain,” katanya.

Hang Soon berkata, kementerian juga memerah otak memikirkan cara pembelajaran termasuk mempertimbangkan rancangan televisyen pendidikan yang bersiaran 24 jam.

“Ini kerana terdapat kawasan luar bandar yang tidak diliputi kemudahan Internet atau ibu bapa tidak mempunyai kemudahan berkaitan,” katanya.

Beliau menjelaskan, selain mempertimbangkan semua cadangan, Kementerian Pendidikan juga akan memanjangkan usul kepada Kementerian Kesihatan dan mendengar pandangan balas mereka. – MalaysiaGazette