Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih beroperasi semula secara berperingkat-peringkat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dilaksanakan mulai 15 April hingga 28 April ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perniagaan-perniagaan yang diberi kebenaran itu mesti mematuhi garis panduan penjagaan kesihatan dan PKP yang ketat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor-sektor itu akan disenaraikan dalam masa terdekat ini selepas sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahanan menelitinya.

”Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan.

”Perintah ini masih berkuatkuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi,” katanya selepas menyampaikan perutusan khas mengenai PKP sebentar tadi.

Menurutnya, jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan. – MalaysiaGazette