Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR- Bantuan one-off (sekali beri) kepada pelajar institusi pengajian tinggi di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diperluas kepada pelajar tingkatan enam, pelajar diploma dan setara.

Ini termasuk program-program di institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menteri Kewangan,  Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, berikutan perluasan bantuan tersebut, peruntukan yang telah disediakan sebelum ini iaitu sebanyak RM270 juta juga dinaikkan kepada RM300 juta.

“Di samping itu, Kementerian yang terlibat akan mempercepatkan jadual bayaran kepada pelajar IPT yang layak daripada bulan Mei kepada hujung bulan April 2020.

Kerajaan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar IPT dalam tempoh PKP. Moga mereka terus sabar dan gigih dalam perjalanan menuntut ilmu dan menimba kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bantuan akan dimanfaatkan oleh kira-kira 1.5 juta pelajar.

Dianggarkan sebanyak 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta; politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi akan menerima bantuan tersebut.

Manakala di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, dianggarkan 100,000 ribu pelajar tingkatan enam dan matrikulasi akan menerima bantuan sebanyak RM200 itu, manakala 200,000 pelajar diploma dan setara di bawah pelbagai kementerian turut menerima bantuan berkenaan.- MalaysiaGazette