Seorang petugas KKM dilihat melakukan persiapan sebelum pemeriksaan wabak Covid-19 keatas orang awam di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- “Panas macam sauna!” ringkas jawapan yang diberikan oleh Ketua Jururawat Hospital Kuala Lumpur, Hasnoni Mohamad ketika ditanyakan perasaan ketika memakai PPE.

Jelasnya, sebagai seorang petugas kesihatan terlatih, mereka sudah maklum mengenai peri-pentingnya pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi mengelakkan diri daripada risiko jangkitan.

Ketua Jururawat HKL yang juga petugas di Wad Covid-19, Hasnoni Mohamad 

Disebabkan itu para petugas kesihatan katanya, tidak pernah merungut apabila terpaksa mengenakan PPE selama berjam-jam ketika bertugas meskipun baju akan lencun dengan peluh tatkala sut tersebut ditanggalkan.

Hasnoni yang bertugas di wad Covid-19 HKL, sebelum ini ditugaskan di pusat saringan Covid-19 hospital tersebut berkata, tempoh pemakaian PPE adalah bergantung kepada perawatan yang diberikan kepada pesakit.

Petugas memakai sut PPE melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2020.

“Bila kita pakai PPE, kita kena pakai penutup hidung dan mulut N95, gaun penuh, dua lapis sarung tangan, penutup muka penuh, penutup kasut dan but serta apron.

“Para petugas kesihatan juga tidak akan memakai uniform di dalam PPE sebaliknya kami akan memakai pakaian bilik bedah.

“Sebagai jururawat, kita perlu tahu tanggung jawab kita.

“Kita tidak fikir pun pasal panas atau tidak, janji boleh beri perawatan yang efektif kepada pesakit dan dalam masa yang sama melindungi diri kita sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini

Para petugas memakai sut PPE lengkap dan rapi sebelum melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2020.

Tambah Hasnoni, melihat kepada bilangan pesakit yang semakin bertambah dan juga jumlah wad Covid-19 yang semakin banyak dibuka, beliau betul-betul berazam untuk memastikan wabak ini dapat dibendung.

“Saya merayu kepada masyarakat di luar sana supaya faham dan memberi kerjasama untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami barisan hadapan ini, terpaksa bekerja kerana ini tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kami.

“Jika orang ramai memberi kerjasama dengan duduk di rumah, saya rasa PKP ini tidak akan lama,” kata jururawat yang telah berkhidmat di HKL sejak 21 tahun lalu itu.- MalaysiaGazette