Gelagat seorang pelancong luar negara berswafoto berlatarkan belakang pelbagai jenis bunga kalung yang digantung sempena sambutan Hari Deepavali yang bakal tiba ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan ketibaan 26,100,784 pelancong antarabangsa ke negara ini yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sepanjang tahun lalu.

Pertumbuhan kecil sebanyak 1.0% dari segi kehadiran pelancong itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan pelancongan sebanyak 2.4% berbanding tahun 2018, kata Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Pada masa sama, prestasi pelancongan negara juga mencatatkan pertumbuhan dari segi perbelanjaan per kapita yang meningkat sebanyak 1.3% kepada RM3,300 manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) naik sebanyak 0.9 malam kepada 7.4 malam.

Sebanyak 10 negara yang mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke negara ini pada tahun 2019 ialah Singapura (10,163,882), Indonesia (3,623,277), China (3,114,257), Thailand (1,884,306), Brunei (1,216,123), India (735,309), Korea Selatan (673,065), Jepun (424,694), Filipina (421,908) dan Vietnam (400,346).

Pertumbuhan ketibaan pelancong disumbang oleh pasaran Asia Selatan (+22.2%), Asia Timur (+5.9%), Amerika (+4.3%) dan Eropah (+0.3%) manakala penurunan direkodkan bagi pasaran ASEAN (-1.3%) and Asia Barat (-2.1%).

Dari segi keseluruhan perbelanjaan pelancong, penyumbang terbesar kekal dari pasaran ASEAN dengan sejumlah RM43.72 bilion. Dalam pada itu, pelancong Asia Barat merekodkan perbelanjaan per kapita tertinggi sebanyak RM10,214 iaitu peningkatan sebanyak +2.7 peratus berbanding RM9,947 pada tahun 2018.

Tiga komponen utama pengagihan perbelanjaan pelancongan tertinggi adalah melibatkan aktiviti beli-belah (33.6%), penginapan (24%) serta makanan dan minuman (13.3%).

Perbelanjaan aktiviti beli-belah melebihi perbelanjaan penginapan dengan peningkatan dari 33.4% pada tahun 2018 kepada 33.6% pada tahun 2019.

Sementara itu, pasaran yang menunjukkan peningkatan ALOS pula ialah Asia Barat (9.8 malam), Eropah (8.8 malam), Amerika (8.2 malam), Asia Barat (6.5 malam), Asia Selatan (6.4 malam) dan ASEAN (4.9 malam). – MalaysiaGazette