Jangkitan semula koronavirus kepada pesakit yang pulih menjadi kebimbangan Seoul. foto Agensi

SEOUL – Seramai 91 pesakit yang disahkan sihat selepas dijangkiti Covid-19, didapati kembali positif.

Pengarah Pusat Kawalan dan Perlindungan Wabak Korea (KCDC) dalam taklimatnya berkata, Jeong Eun-kyeong berkata, virus itu mungkin “aktifkan semula” daripada pesakit yang dijangkiti semula.

Beliau yang tidak pasti dengan trend tersebut memaklumkan penyiasatan epidemiologi masih dijalankan.

Prospek individu yang dijangkiti semula dengan virus itu menjadi kebimbangan antarabangsa kerana banyak negara berharap populasi yang terkena virus tersebut akan meningkatkan sistem imuniti untuk mencegah dijangkiti semula.

Angka jangkitan di Korea Selatan meningkat daripada 51 kes pada hari Isnin.

Hampir 7,000 orang penduduk negara ini dilaporkan pulih dari Covid-19.

“Sebanyak 91 kes ini adalah permulaan sahaja,” kata Kim Woo-joo, seorang Profesor Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Korea Guro.

Jeong tidak menolak kemungkinan bukannya pesakit yang dijangkiti semula tetapi virus yang ”aktif semula”.

Kim juga berkata, pesakit mungkin “kembali semula” dan bukannya dijangkiti semula.

Pakar-pakar lain pula berpendapat, sisa-sisa virus masih boleh berada dalam sistem pesakit tetapi tidak menular atau bahaya kepada pesakit atau orang lain.

“Terdapat tafsiran yang berbeza dan banyak pembolehubah,” kata Jung Ki-suck, Profesor Perubatan Paru-paru di Hallym University Sacred Heart Hospital.

”Kerajaan perlu memberi maklum balas ke atas setiap kepelbagaian punca,” ujarnya.

Korea Selatan melaporkan sebanyak 27 kes baru semalam – terendah selepas kemuncak kes lebih 900 pada akhir Februari lalu.

Jumlah keseluruhan jangkitan adalah 10,450. – MalaysiaGazette