Para petugas bersiap sedia melaksanakan tugas masing-masing di sekitar Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

KUALA LUMPUR – Proses nyahkuman di bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India dimulakan pagi ini oleh pasukan petugas Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Kedua-dua bangunan yang menempatkan lebih 6,000 penghuni itu kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Majlis Keselamatan Negara atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan peningkatan kes di kedua dua premis berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar 9.30 pagi di kawasan Zon Merah itu mendapati beberapa petugas kesihatan tiba di perkarangan pasar raya Mydin yang terletak di hadapan Selangor Mansion sebelum memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) bagi melaksanakan proses nyahkuman di kedua dua premis.

Mereka tiba dengan menaiki van Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seawal 7 pagi lagi sebelum membuat persiapan dari segi peralatan.

Sementara sepasukan Rela yang terdiri daripada 18 anggota telah bersiap sedia dengan PPE bagi menghantar barang keperluan kering untuk setiap keluarga di Plaza City One tidak jauh dari Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

Menurut seorang anggota Rela yang namanya enggan didedahkan, selain membantu polis mengawal kawasan itu daripada diceroboh individu luar mereka juga terlibat mengagihkan barangan keperluan untuk setiap keluarga yang disekat pergerakannya.

Katanya proses penghantaran makanan yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) itu adalah antara 8.30 hingga 10.30 pagi;  12.30 tengahari dan di sebebelah petang antara  2.30 petang dan 6.30 petang hingga 8.30 malam.

Seramai 40 orang anggota Rela difahamkan terlibat dalam tugas mengawal keadaan di Masjid India pada hari ini.

Kerajaan pada 7 April lalu melaksanakan PKPD di dua bangunan di Jalan Masjid India iaitu Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Tindakan itu menyusul atas nasihat KKM selepas kawasan Zon merah berkenaan 15 kes posotif Koronavirus-19 (Covid-19) di kedua-dua bangunan itu.

PKPD di kedua dua bangunan itu membabitkan 365 unit kediaman dan premis perniagaan di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette