Suasana lengang di dalam sebuah restoran susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah ( DPPIMS) merayu kepada kerajaan negeri dan Pusat serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan waktu operasi Restoran Muslim di bulan puasa dipanjangkan untuk memastikan pelanggan Islam dapat membeli makanan bagi berbuka puasa dan bersahur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan ( PKP).

Rayuan itu dibuat selepas Kerajaan Negeri Sabah menetapkan had masa operasi restoran untuk perkhidmatan penghantaran makanan, bungkus untuk bawa balik dan pandu lalu hanya dibenarkan mulai 6 pagi hingga 6 petang.

Presidennya, Datuk Hj Baisul Khan Salman Faris berkata, waktu operasi yang dibenarkan itu kurang sesuai terutama sekali kepada peniaga restoran Muslim.

Oleh itu, DPPIMS berpendapat, kerajaan perlu menilai semula waktu perniagaan tersebut.

Baisul berkata, pelanggan Islam perlu mendapatkan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur, oleh itu, waktu perniagaan restoran yang sesuai ialah bermula pada jam 3 petang sehingga ke 3 pagi.

Beliau menambah, beberapa restoran di kawasan tertentu, juga perlu diberi pilihan untuk membuka restoran daripada 6 pagi ke 3 pagi bagi memberi kemudahan dan pilihan kepada pelanggan bukan beragama Islam.

Baisul Khan Salman Faris

 

”Ramai pelanggan meminta kami memanjangkan waktu perniagaan sejak tempoh had masa yang dibuat oleh kerajaan negeri yang dihadkan kepada 6 petang kerana pelanggan sukar mendapatkan makanan untuk makan malam.

”Tidak semua rakyat mampu memasak sendiri di rumah dan kadang kala mereka mengalami kekurangan bahan mentah dan mencari restoran untuk memesan makanan.

”Peniaga restoran juga menerima banyak panggilan pada waktu awal malam daripada pelanggan untuk meminta kami menyediakan apa- apa makanan, asal boleh menghilangkan lapar,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, katanya, wajarlah kerajaan mempertimbangkan restoran dibuka sehingga jam 9 malam sehingga bulan puasa dan dipanjangkan ke jam 3 pagi untuk bulan puasa.

DPPIMS juga merayu kepada kerajaan dan pihak pengurusan Food Panda, Grab Food, Morefun dan lain-lain untuk memanjangkan masa mengikut permintaan yang diluluskan oleh kerajaan.

Baisul berkata, DPPIMS akan memastikan semua restoran yang menjadi ahli dewan itu sentiasa memastikan tahap jarak sosial dipatuhi semasa pelanggan membeli makanan. – MalaysiaGazette