Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Parihah Hasan (kanan) menolong petugas memasukkan barang keperluan ke dalam van ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di Pejabat YaPEIM, Kampung Attap, Kuala Lumpur. fotoo FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2020

KUALA LUMPUR- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan kaedah paling mudah untuk orang ramai sama-sama menyumbang kepada golongan yang memerlukan terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hassan, YaPEIM memahami kesukaran orang awam untuk bergerak menyerahkan sumbangan ketika PKP diaktifkan.

Dengan itu, badan tersebut telah menyediakan YaPEIMS Mart untuk memudahkan orang ramai membeli barangan yang ingin disumbangkan secara dalam talian.

Penyumbang hanya perlu melayari laman web https://kyte.site/yapiem-mart-online dan memilih barang yang disumbangkan.

Mereka juga boleh memilih pakej-pakej yang telah disediakan seperti pakej berharga RM30, RM50 dan RM100.

Selepas melengkapkan butiran yang diperlukan seperti alamat, emel, nama, telefon dan membuat pembayaran, pihak YaPEIM akan membuat penghantaran ke alamat yang telah diberikan.

Jika penyumbang tidak mempunyai penerima khusus, mereka hanya perlu menyatakan sumbangan tersebut diserahkan kepada YaPEIM untuk diuruskan.

Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Parihah Hasan (kanan) memantau petugas memasukkan barang keperluan ke dalam van di Pejabat YaPEIM, Kampung Attap, Kuala Lumpur. fotoo FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2020

“Sejak tahun lepas lagi kami sudah aktif dengan aktiviti food bank, kami juga telah mempunyai senarai penerima sumbangan yang kami perolehi dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Selain sumbangan daripada dana kami sendiri, YaPEIM juga menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Memahami pergerakan agak terbatas dan banyak kedai juga yang mengehadkan pembelian maka di sinilah YaPEIM Mart dapat membantu orang ramai yang ingin menderma tetapi berhadapan dengan kekangan PKP.

“Kami mempunyai pembekal-pembekal sendiri yang telah memberi komitmen untuk memenuhi setiap permintaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Bagi sumbangan di luar Lembah Kelang, Parihah berkata, ianya tertakluk kepada capaian Pejabat Pentadbiran Negeri.

“Kalau terlalu ceruk atau pedalaman, mungkin ada masalah dari segi penghantaran tetapi di kawasan-kawasan yang mempunyai capaian Pejabat Pentadbiran Negeri, memang kami sedia untuk berkhidmat,” katanya lagi.

Setakat November tahun lalu, YaPEIM telah menerima sumbangan sebanyak RM49,908.55 daripada individu dan pertubuhan.

Sejumlah RM47,253.55 telah diagihkan kepada 2,903 penerima manfaat yang terdiri daripada rumah kebajikan anak yatim dan miskin, rumah kebajikan warga emas, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan B40.- MalaysiaGazette