Topeng muka berlogo PDRM dan ATM yang dijual oleh sindiket individu tertentu dikesan tular dalam media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menjual, membeli atau menggunakan topeng muka atau baju yang mempunyai lambang pasukan keselamatan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Amaran disusuli peringatan tegas itu selepas Jabatan Sisatan Jenayah Bukit Aman berjaya mengesan gerakan oleh individu tertentu yang menawarkan penjualan topeng muka dan baju berlogo PDRM dan ATM Op Penawar 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed .

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, perbuatan individu terbabit didapati melanggar undang-undang.

“Hanya anggota PDRM dan ATM sahaja dibenarkan menggunakan face mask atau baju T yang mempunyai logo tersebut.

“Sekiranya kegiatan ini masih berterusan, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 89 (b) Akta Polis 1967 yang boleh dikenakan denda RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru tambah Huzir, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Malahan pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan kesalahannya.

Baju T berlogo PDRM dan ATM yang didakwa digerakkan individu tertentu untuk pembelian awam dalam media sosial diberi amaran oleh Bukit Aman supaya orang awam mengelak daripada membeli produk yang dijual tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“PDRM tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan mempromosikan barangan berlogo PDRM dan ATM Op Penawar 2020 untuk dijual secara terang-terangan kerana ia merupakan perbuatan enyalahi undang undang.

“Tindakan tegas akan diambil untuk mengheret pesalah ke muka pengadilan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette