Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida terbuka kepada semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menawarkan geran
penyelidikan khas untuk dibida terbuka kepada semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Ia bagi membolehkan golongan itu menjalankan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi Pasca Covid-19.

“Penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek ini adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada Kerajaan terutamanya kepada Kementerian berkaitan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

“KPT yang mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf Profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf Profesor Madya secara jelas dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi selain menghadapi kehidupan baru bagi mengelakkan wabak Covid-19 menular semula,” kata Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan, hari ini.

Geran bernilai RM20,000 bagi setiap penyelidikan yang dijalankan yang meliputi 20 bidang utama.

Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan
masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Ia adalah bidang ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan (food security).

“Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan tersebut dalam menentukan kesesuaian penyelidikan ini untuk dilaksanakan,” kata kementerian itu lagi.

Setiap kertas cadangan penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 3 orang.

Permohonan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian adalah selama 6 bulan. -MalaysiaGazette