Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 12 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Tiada pesakit pulih daripada Covid-19 yang dijangkiti virus itu semula di Malaysia setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, meskipun terdapat dua hingga tiga kes tetapi ia merupakan kes positif yang lemah.

“Ada dua tiga kes, tetapi ia weak positive, iaitu dalam peringkat peluruhan virus, kadangkala ia very weak,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Katanya, kes weak positive tidak akan menjangkiti orang lain tetapi masih ada kebarangkalian kecil mereka akan dijangkiti virus itu semula.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan beberapa kes di Korea Selatan, di mana pesakit yang disahkan pulih daripada Covid-19 kembali dijangkiti virus itu.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, gesaan untuk kerajaan melanjutkan kontrak pegawai farmasi dalam usaha memerangi Covid-19 terletak di bawah bidang kuasa bahagian sumber manusia.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan setakat ini mempunyai kakitangan farmasi mencukupi dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

“Tapi (pegawai farmasi) yang sudah habis (kontrak) boleh berkhidmat ikut kontrak jangka pendek dengan (pasukan) sukarelawan,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Farmasi Malaysia menggesa kerajaan melanjutkan kontrak 3,500 pegawai farmasi yang dijangka akan meninggalkan KKM, hospital dan unit farmasi Angkatan Tentera Malaysia antara April, Julai dan Disember ini jika kontrak mereka tidak dilanjutkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.