SEOUL – Kia Motors Corp memberitahu kesatuan buruhnya di Korea Selatan bahawa syarikat tersebut mahu menggantung operasi di tiga kilang dalam negara.

Ini berikutan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan eksport ke Eropah dan Amerika Syarikat terjejas.

Menurut seorang wakil kesatuan, mereka masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerima pelan tersebut kerana rundingan berhubung pembayaran gaji masih lagi berlangsung.

Sekiranya pelan tersebut diterima, Kia merancang untuk menggantung operasi dari 23-29 April ini.

“Kia Motors ketika ini sedang menyemak cadangan untuk menggantung sebahagian daripada kilang-kilangnya di Korea berikutan penurunan permintaan global akibat Covid-19.

“Bagaimanapun, masih belum ada keputusan yang dimuktamadkan setakat ini,” kata syarikat pengeluar kenderaan itu dalam satu kenyataan di sini.

Hyundai Motor telah menggantung pengeluaran kenderaan SUV Tucson di Ulsan bermula 13-17 April ini.

Hyundai dan Kia Motor telah menggantung hampir kesemua kilang mereka di luar Korea Selatan dan China berikutan penularan pantas koronavirus. – Reuters