Lima suspek yang ditahan polis semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sekumpulan lima individu termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia dipercayai berkaitan kesalahan memiliki dadah dalam satu kejadian semalam (Ahad).

Tiga orang daripada lima suspek itu merupakan wanita tempatan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari pasukan cantas Op Covid-19, pihaknya telah menyerbu sebuah bangunan iaitu Empire Damansara Soho 1, di Jalan PJU 8.8A, Damansara Persana sekitar 6.30 petang.

“Hasil serbuan tersebut polis berjaya menahan dua lelaki iaitu salah seorangnya warga negara Indonesia dan tiga perempuan tempatan kesemuanya berumur lingkungan usia antara 25 hingga 39 tahun.

“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek berkenaan polis berjaya merampas 14 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis Syabu seberat 74.4 gram,” katanya dalam kenyataan hari inii.

Menurut Nik Ezanee, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna silver dan satu anak kunci serta alat kawalan jauh daripada suspek tersebut.

Menurutnya ujian air kencing ke atas kelima-lima suspek juga dijalankan.

“Hasilnya empat daripada lima suspek berkenaan termasuk dua wanita disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kesemua suspek kini telah ditaHan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas kesemua individu itu bagi melihat penglibatan mereka dalam kes kes jenayah yang lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai status pekerjaan mereka, katanya kesemua suspek adalah penganggur dan tidak mempunyai pekerjaan manakala salah seorangnya adalah pengedar dadah Syabu di kawasan Damansara Perdana.

“Nilai dadah yang dirampas adalah RM4,000 dan kesemua direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 April ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette