Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 2 hari ke-13 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020.

SHAH ALAM – Pematuhan rakyat Selangor terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Fasa 1 dan Fasa 2 sejak 18 Mac hingga 12 April lalu adalah pada tahap 92 peratus.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor Op Covid-19, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, jumlah itu boleh dilihat daripada jumlah laporan polis yang diterima oleh pihaknya sebanyak 1,546 sepanjang PKP yang diadakan bagi membendung penularan Covid-19.

“Untuk statistik tangkapan, berdasarkan kumulatif, laporan polis Op Covid-19 mulai 18 Mac hingga 12 April ini pada jam 12 tengah malam tadi sebanyak 837 kertas siasatan telah dibuka.

“Daripada jumlah tersebut, pihak Polis Kontinjen Selangor telah membuat 1,732 tangkapan. Jumlah pertuduhan pula sebanyak 339 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 85 kes telah dituduh.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 2 hari ke-13 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020.

Menurut Muhammad Yazid, sepanjang tempoh PKP Fasa 2, dari 8 April hingga 12 April lalu, sebanyak 926 kompaun telah dikeluarkan dan semua tindakan telah diambil pihaknya.

“Setakat ini, pihak polis telah meningkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) di setiap daerah Kontinjen Selangor dan dalam tempoh 24 jam, sebanyak 98 lokasi sekatan jalan raya dijalankan.

“Selain itu pihak PDRM juga meningkatkan pemeriksaan snapcheck di semua daerah kontinjen Selangor,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP bagi Fasa 1 dan Fasa 2, sebanyak 2,976 pemeriksaan telah dilakukan dan dalam pemeriksaan sama, seramai 3,940 orang telah diberikan nasihat dan amaran. – MalaysiaGazette