Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (dua kanan) menyerahkan replika cek kepada Presiden Malaysian Zoo Logical Society, Datuk Seri Zaharin Md Arif (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Dana kepada Zoo Negara di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL 13 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM8 juta bantuan kewangan diperlukan oleh 14 buah zoo di negara dan 20 pusat pameran tetap hidupan liar untuk terus beroperasi sehingga Disember ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli  Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan tersebut adalah bagi bekalan makanan dan perubatan haiwan selain membayar gaji 1,058 pekerja yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebagai langkah awal, kata beliau, kementeriannya menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara.

“Kita menyerahkan cek RM1.3 juta  daripada kerajaan sebagai tanda keprihatinan kita kepada Zoo Negara bagi mengatasi masalah yang sedang mereka hadapi. Ini sumbangan daripada kerajaan dalam usaha membantu membolehkan Zoo Negara mengendalikan haiwan-haiwan di dalamnya.

“Dana ini ialah dana awal yang kita berikan dan saya percaya ia boleh digunakan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan sepanjang tempoh PKP,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dana Bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Zoo Negara hari ini.

Selain 14 zoo seluruh negara, terdapat 20 lagi premis pameran tetap hidupan liar yang beroperasi termasuk yang dikendalikan swasta.

Jelas Shamsul, kerajaan tetap bertanggungjawab memastikan kebajikan hidupan liar tidak terabai walaupun ia dikendalikan swasta.

Sehubungan itu ujar beliau, kementeriannya  sedang mengumpul maklumat bagi mengenalpasti  kos dan implikasi yang dihadapi oleh zoo dan pameran tetap hidupan liar seluruh negara sebelum inisiatif lanjut dilakukan.

“Tentu tidak adil untuk kita beri bantuan kepada Zoo Negara, Ampang sahaja. Sebab itu kita sedang mendapat maklum balas yang lengkap dengan pengendalian Jabatan Perhilitan dan Malaysian Association of Zoological Park dan Aquari (MAZPA)  untuk membuat penilaian secara teliti, kerana kita cukup faham pendapatan semua zoo dan pusat pameran bergantung kepada tiket yang diberi pelawat sama ada dari dalam dan luar negara.

“Sudah tentu apabila tempoh PKP dilaksanakan maka menyebabkan ramai pelancong tidak dapat datang sebagai mana hari biasa,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru lebih banyak pihak korporat, syarikat milik kerajaan (GLC), pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sayangkan hidupan liar menghulurkan sumbangan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam tempoh ini.

“Bukan sahaja boleh memberi wang tetapi sumbangan makanan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu kerajaan negeri juga disarankan untuk menyalurkan bantuan kepada zoo. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syukurlah nasib haiwan terbela..terima kasih pada yang membantu haiwan ini di seluruh malaysia supaya tidak menderita..

Comments are closed.