Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 6.6 juta daripada 8.3 juta individu yang layak telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM4.9 bilion setakat 12 April lalu.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dalam minggu ini iaitu di antara 13 hingga 15 April 2020, sebanyak RM750 juta lagi akan disalurkan kepada lebih kurang 1.5 juta penerima.

Kementerian katanya, telah mempercepatkan pembayaran BPN fasa pertama yang sepatutnya dilakukan pada hujung bulan ini kepada 6 April lalu.

Tambahnya, permohonan baharu diterima adalah sebanyak 2.77 juta manakala rayuan adalah sebanyak 274,000.

“Sukacita saya berkongsi bahawa sehingga 12 April 2020, seramai 3.2 juta atau 96.6 peratus isi rumah B40 telah menerima pembayaran BPN berjumlah RM3.2 bilion.

“Bagi individu bujang B40 pula pembayaran sebanyak RM1.7 bilion telah dibuat setakat 12 April lalu.

“Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan setakat 12 April adalah RM4.9 bilion,” katanya ketika menyampaikan Perkongsian Khas Pelaksanaan Pakej Prihatin Rakyat yang disiarkan menerusi Facebook beliau hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, bagi permohonan baharu dan rayuan, keputusan dan pembayaran akan dibuat dalam bulan Mei selepas semakan dan verifikasi dilakukan oleh LHDN.

Dalam pada itu, kira-kira 25,000 atau 86 peratus pemandu teksi telah menerima bayaran insentif one-off berjumlah RM600 setakat 12 April lalu.

Manakala pemandu pelancong pula, sejumlah 63 peratus atau 7,500 orang telah menerima bayaran insentif berkenaan.

Bayaran one-off di bawah pakej Prihatin itu telah ditunaikan sepenuhkan kepada pengayuh beca. – MalaysiaGazette