Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pasangan yang bercerai perlu lebih bertolak ansur dalam melaksanakan hak jagaan dan hak penggiliran jagaan anak terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohd Na’im Mokhtar berkata pelaksanaan PKP yang diwujudkan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai di luar rumah pastinya memberi kesukaran kepada pasangan bercerai untuk melaksanakan kedua-dua hak itu seperti mana yang diperintah pihak mahkamah.

“Saya ingin menasihatkan pasangan bercerai ini supaya tetap mengambil kira kebajikan anak-anak. Anak-anak kecil ini mudah kena, cuba kita bayangkan mereka ini perlu berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain (berikutan penggiliran jagaan), sudah pasti ini membahayakan mereka dan mendedahkan mereka dengan wabak Covid-19.

“Di sinilah perlunya sikap bertolak ansur pasangan bercerai tadi. Gunakan kebijaksanaan masing-masing. Kalau sebelum ini penggiliran jagaan anak seminggu sekali, cuba kurangkannya maka itu lebih baik untuk keselamatan anak itu,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Bernama Radio pada rancangan ‘Tanggungjawab Pasangan Bercerai dan Berpoligami sepanjang PKP’, hari ini.

Ditanya mengenai timbulnya dakwaan peningkatan kes penderaan dan keganasan rumah tangga oleh NGO, Na’im berkata sekiranya berlaku kes penderaan, mereka yang didera tidak boleh membiarkannya berterusan dengan hanya berdiam diri.

“Tanggungjawab paling utama ialah kita wajib melindungi setiap juzuk tubuh badan kita selaras dengan tuntutan agama. Oleh itu, mereka yang didera tidak kira suami atau isteri perlu bertindak segera mendapatkan perlindungan daripada pihak berwajib antaranya dengan cara menghubungi Talian Kasih di 15999,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mahkamah syariah sedang memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pendengaran kes-kes terdesak dapat diteruskan, contohnya kes penderaan dan perceraian yang berlaku sepanjang tempoh PKP.- BERNAMA