KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan agar memberi bantuan one-off kepada golongan penghantar pesanan.

Bantuan tersebut perlulah sekurang-kurangnya berjumlah RM200 sebagaimana yang diterima oleh petugas di barisan hadapan, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“Sebenarnya, mereka ini tidak dikategorikan sebagai pemandu e-hailing, maka mereka tidak layak untuk mendapat bantuan one-off RM500 daripada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa agar kerajaan mewujudkan akta khas untuk menjaga kebajikan golongan berkenaan.

Ujarnya, ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan, nasib mereka masih terawang-awangan selepas tiada kata putus mengenai kementerian yang bertanggungjawab untuk memperjuangkan nasib mereka.

Katanya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia di bawah kerajaan baru ini harus bertindak proaktif untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Mereka juga perlukan persatuan agar suara mereka di dengar oleh syarikat-syarikat korporat.

“DPIM berharap syarikat-syarikat terlibat untuk memberikan sedikit bonus kepada mereka dan tidak menarik balik apa jua bonus yang diberikan dalam tempoh PKP ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bonus itu boleh diberikan sekitar RM1 hingga RM2 untuk setiap penghantaran bagi menghargai pengorbanan wira dan wirawati penghantar pesanan itu. – MalaysiaGazette