SEJAK bulan November 2019, masyarakat dunia dikejutkan dengan penularan koronavirus atau Covid-19 yang boleh membunuh ramai manusia.  Ia bermula di Kota Wuhan, Wilayah Hubei, China dan kini telah merebak ke seluruh dunia, termasuklah Malaysia.

Penularan Covid-19 bermula daripada kemasukan pelancong dari negara China. Malaysia dan beberapa negara lain lewat bertindak menghalang kehadiran mereka. Tambahan pula, pihak kerajaan membiarkan pelbagai aktiviti seperti perhimpunan keagamaan, hiburan dan sukan. Rakyat pula begitu alpa terhadap penularan wabak tersebut.

Mulai 18 Mac 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil keputusan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk menguatkuasakan beberapa akta bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Sehingga kini, kita telah berada di fasa ketiga PKP dengan peraturan dan penguatkuasaan yang lebih ketat.

Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan kematian rakyat Malaysia.  Dalam usaha menjaga keselamatan rakyat, Majlis Keselamatan Negara telah menjadi urus setianya.  Semua pasukan keselamatan digerakkan bagi membanteras penularan wabak ini. Hakikatnya, virus Covid-19  mengancam keselamatan rakyat dan negara. Pelbagai agensi telah menjadi pasukan hadapan bagi menangani wabak ini, terutamanya pegawai perubatan dan staf di bawah KKM.  Manakala pasukan keselamatan yang terdiri daripada PDRM, ATM, RELA, JPAM dan lain-lain turut menjadi pasukan hadapan di jalan raya.

Faktanya wabak Covid-19 telah menyerang rakyat Malaysia tidak mengira bangsa, agama, budaya dan usia.  Fenomena ini amat berbahaya jika tidak dikawal.  Jika berlaku ketirisan ia akan menyebabkan kekurangan pakar perubatan dan akan menggugat keselamatan dan kesihatan awam.

Suatu yang menarik, rakyat Malaysia dibekalkan maklumat setiap hari oleh KKM. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diberi ruang bersiaran secara langsung di RTM mulai jam 5 petang.  Tindakan ini penting untuk membolehkan rakyat memahami situasi terkini dan turut sama membantu memutuskan penularan wabak Covid-19.  Kita telah diberitahu ciri-ciri virus dan cara memeranginya. Tanggungjawab kita adalah mempertahankan diri dengan duduk di rumah, menjalankan tugas dan bekerja dari rumah.  Inilah strategi yang digunakan di negara-negara yang berjaya memerangi Covid-19 seperti Korea Selatan, China dan Brunei.

Dari segi akademik, dalam setiap pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pengarah KKM, terdapat satu elemen yang sangat penting dan signifikan. Perkara tersebut adalah “Statistik Covid-19”. Biasanya rakyat teruja menunggu untuk mengetahui beberapa statistik  sepertimana dalam rajah berikut.

Parameter dalam statistik Covid19 adalah kes baharu, jumlah kematian, kes sembuh, kes masih dirawat dan jumlah kes keseluruhan. Tanpa disedari, seluruh rakyat berminat dengan statistik.  Mereka diberikan statistik setiap hari oleh KKM.  Jelasnya, statistik ini menjadi maklumat pelengkap yang disampaikan oleh KKM.

Hikmahnya bidang statistik menjadi penting. Inilah yang perkara sering dibangkitkan apabila mengajar statistik.  Sebenarnya terdapat beberapa jenis statistik. Statistik Covid-19 untuk umum.  Statistik merupakan ilmu sains pengumpulan data, penyajian data, analisis, interpretasi dan proses membuat keputusan. Statistik Covid19 kini menjadi bahan bicara orang awam dan mereka mula mengenali dan menghayati ilmu statistik.  Ia sangat penting dalam membuat keputusan. Walaupun statistik Covid-19 hanya bersifat penyajian data, tetapi ia banyak memberi maklumat kepada rakyat dalam menangani virus ini.

Dalam suasana sekarang, pelbagai data boleh dikeluarkan. Namun begitu, data yang dikeluarkan mestilah sahih agar tidak mengelirukan dan membimbangkan orang awam. Justeru, pihak KKM memastikan statistik Covid-19 mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi.  Dalam suatu statistik yang pernah dikeluarkan oleh sebuah agensi, tahap kepatuhan rakyat hanya 62 peratus pada fasa awal PKP.  Dalam PKP fasa kedua, kerajaan mengambil tindakan lebih tegas berdasarkan peruntukan undang-undang. Tiada lagi pendekatan berlembut atau nasihat kepada mereka ingkar dengan arahan PKP. Dapatan kajian mendapati pematuhan PKP melonjak kepada 99 peratus setakat 4 April (Berita Bernama, 4 April 2020).  Isunya, sejauh manakah statistik dipercayai sedangkan jalan raya masih sesak dengan kenderaan dan kadar saman yang dikeluarkan PDRM terus meningkat. Tidak kurang yang dibawa ke Balai Polis untuk tindakan undang-undang selanjutnya. Oleh itu, rakyat perlu mendapat statistik Covid-19 daripada pihak berwajib iaitu KKM. Jika kita gagal menangani wabak ini, ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Natijahnya, kos terlalu tinggi untuk rakyat dan negara menanggung bebannya.

Pada hemat penulis, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dan Kementerian Sains & Teknologi (MOSTI) perlu mengoptimumkan penglibatan golongan akademik dalam situasi masa kini. Pakar-pakar statistik yang bernaung di bawah Institut Statistik Malaysia dan Jabatan Statistik Malaysia boleh digemblengkan keilmuannya.  Laporan harian boleh memasukkan jangkaan penularan virus mengikut analisis data, analisis kluster menentukan lokasi dan analisis ramalan boleh membantu tahap jangkitan virus.  Pihak kerajaan mesti menggerakkan sinergi dan kolaborasi dengan pihak universiti dan pelbagai institusi berkaitan bagi menamatkan penularan virus ini.

Jelasnya, kebolehpercayaan Statistik Covid-19 perlu dipertingkatkan. Ramai dalam kalangan rakyat menghadapi masalah psikologi akibat Covid-19 dan pelaksanaan PKP.  Pihak kerajaan khususnya MKN perlu mempunyai data tentang kesejahteraan rakyat, data kesempitan sara hidup dan sebagainya. Dalam kajian Indeks Kepuasan Rakyat Malaysia (MPSI) oleh UTM, didapati kos sara hidup menjadi dimensi penting yang mempengaruhi tahap kesejahteraannya. Oleh itu, statistik seumpama ini perlu diketahui oleh pihak kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil secara berterusan.

Statistik Covid-19 pada 13 April 202 menunjukkan suatu trend ke arah kejayaan mengawal jangkitan virus ini. Ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.  Walau bagaimanapun, berdasarkan jumlah 134 kes baharu dan jumlah kes positif sebanyak 4,817 kes, data tersebut masih tidak dapat menggembirakan rakyat Malaysia. Jumlah kematian kini sebanyak 77 orang, iaitu 1.6% daripada jumlah keseluruhan kes. Kadar kematian di Malaysia adalah terendah di dunia.

Hakikatnya, Covid-19 akan menyerang manusia tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik dan kemahiran yang dimiliki. Virus ini mengajar kita tentang penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan nasional.  Justeru, kita perlu bersikap patriotik kepada negara demi keselamatan rakyat. Elemen patriotik perlu dipertingkatkan terutama dalam zaman PKP ini. Pihak kerajaan telah mengusahakan pelbagai langkah strategik untuk seluruh rakyat Malaysia. Pengagihan bantuan kepada rakyat semestinya berasaskan ‘keadilan sosial” melepasi batas kaum, agama dan fahaman politik. Jelasnya, rakyat perlu mengukuhkan perpaduan kerana “muafakat itu berkat”.

Secara keseluruhan, didapati banyak inisiatif kerajaan telah menampakkan hasilnya.  Kejayaan kerajaan adalah kejayaan rakyat.  Kerajaan telah menyediakan pakej rangsangan sebanyak RM250 bilion untuk membantu rakyat di sepanjang PKP. Kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan penularan wabak ini dalam tempoh masa yang pendek.  Rakyat sudah mula merasai kesannya kepada kos ekonomi keluarga dan kesejahteraan sosial.

Golongan B40 sangat terkesan kehidupannya. Kajian MPSI menekankan supaya kerajaan mengambil perhatian terhadap keperluan golongan B40. Kita mesti menang ‘peperangan’ ini.  Justeru, seluruh rakyat Malaysia mesti bersolidariti dan menyokong dasar kerajaan bagi mencipta kejayaan memerangi Covid-19. Kesepaduan ini penting kerana menurut Ketua Pengarah KKM “kita belum menang, dan kita juga belum kalah”. Tetapi jauh di sudut hati seluruh rakyat Malaysia, kita mesti menang dalam ‘peperangan’ ini. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Profesor dari Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia