Deretan kenderaan ketika sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Selayang Baru-Templer, Gombak. foto AFIQ RAZALI, 04 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewartakan 13 Akademi Penjara  di seluruh negara sebagai pusat tahanan sementara untuk menempatkan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjara sedia ada sekarang tidak mampu menampung jumlah tahanan berikutan tindakan tegas kerajaan terhadap mereka yang ingkar PKP.

Katanya, bermula PKP fasa ketiga hari ini, kerajaan tidak lagi mengenakan kompaun kepada pesalah, sebaliknya mereka akan dijatuhkan hukuman lebih tegas iaitu penjara.

“Sekarang ini timbul isu apabila pesalah PKP dipenjarakan akan berlaku kesesakan dan penjarakan sosial tidak dipatuhi.

“Dalam mesyuarat Kabinet pagi ini, kita buat keputusan supaya KDN mewartakan 13 Akademik Penjara sebagai pusat tahanan yang baharu untuk pesalah ini.

“Akademik Penjara ini akan ditukar kepada pusat tahanan. Ini akan dapat menyelesaikan isu penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media harian mengenai Covid-19 bagi hal ehwal berkaitan keselamatan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pusat tahanan baharu ini akan menggunapakai undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai di penjara biasa.

Katanya, ini bermakna tahanan yang ditempatkan di situ tidak boleh meminta makanan mewah.

“Bukan bermakna bila masuk pusat penjara ini makanan lebih mewah dari penjara biasa. Tidak, makanannya ikut SOP yang dimakan oleh banduan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast