Fellaini positif Covid-19

BEIJING – Bekas bintang Manchester United Marouane Fellaini yang diuji positif Koronavirus 2019 (Covid-19) meninggalkan hospital selepas selesai menjalani rawatan semalam.

Pemain yang kini bersama Kelab Liga Super China, Shandong Luneng berkata, dia telah menerima rawatan selama tiga minggu selepas dikesan dijangkiti virus tersebut pada 22 Mac lalu.

“Tiba masa untuk saya merakamkan penghargaan secara ikhlas dari hati kepada semua kakitangan perubatan yang merawat saya selama ini,” kata pemain berusia 32 tahun itu melalui instagram peribadinya.

Fellaini turut mengucapkan terima kasih kepada kelab Shandong Luneng yang menjaga segala kebajikannya selama ini.

Laporan media di China mendakwa Fellaini telah diletakkan dalam isolasi di Hospital Jinan yang merupakan pusat pakar merawat penyakit berjangkit.

Sepanjang dirawat di hospital, Fellaini sempat merakam dan memuat naik video dia melakukan aktiviti kecergasan yang dikongsikan dalam media sosial.

Fellaini berhijrah ke China pada 2019 selepas 11 musim di England, United dan Everton.-MalaysiaGazette