Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menerima beberapa permohonan bertujuan pengesahan penggunaan terowong disinfeksi atau nyah kuman untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

Permohonan itu telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil penilaian mendapati proses nyah kuman dengan menggunakan bahan kimia berlainan pada peralatan terbabit yang melibatkan individu melaluinya untuk tempoh antara 20 hingga 30 saat mendapati tiada bukti menunjukkan ia berkesan
mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia,” katanya pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.

Malah Noor Hisham berkata, bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput di tubuh seperti di mata dan mulut.

Justeru, tambah beliau, berdasarkan penilaian tersebut, KKM tidak menyarankan penggunaan kotak, ruang, terowong, sekatan, pintu nyah kuman sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap manusia.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa, ” katanya. -MalaysiaGazette