Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan terdapat tiga ‘Strain’ Covid-19 dalam kalangan penduduk negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kini negara sedang menghadapi gelombang kedua kes import jangkitan Covid-19.

Katanya, kewujudan tiga jenis mutasi itu kerana ramai rakyat Malaysia yang sudah kembali ke negara daripada luar negara dan ia bukan terhad sekadar dari Wuhan sepertimana semasa PKP fasa pertama dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Kita percaya negara sedang berdepan dengan gelombang kedua kes import (Covid-19) kerana pelajar dan rakyat kita yang kebanyakannya selama ini berada di luar negara atau tujuan melancong, belajar atau urusan negara kini sudah pulang ke tanahair termasuk dari China, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan lain-lain.

“Oleh demikian, saya rasa kita di negara ini sudah mempunyai tiga jenis mutasi virus Covid-19, namun kita tidak tahu atau belum dapat mengenalpastinya sehinggalah proses pengasingan atau susunan lengkap virus genom (sequence genome) dan menandakannya.

“Jika berjaya melakukan pengasingan itu, barulah kita dapt membuat perbandingan jenis mutasinya sama ada ia adalah jenis A, B ataupun C untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau semasa  sidang media penularan wabak Covid-19 hari ini.

Noor Hisham menjelaskan, setakat ini pasukannya belum dapat mengenalpasti jenis virus Covid-19 itu dan sifatnya disebabkan ia adalah virus baharu.

“Justeru kita juga setakat ini belum mempunyai sebarang data atau laporan baharu hasil penemuan berkaitan yang mampu menjadikan rujukan atau membuat perbandingan di sini.

“Kalau virus lain kita sudah ada identiti dan rekod mengenai sifatnya yang membolehkan kita mengambil langkah penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.