Ameer Ali Mydin

KUALA LUMPUR – Cecair nyah cemar yang digunakan terowong sanitasi di Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin) dibekalkan oleh syarikat tempatan yang berpengalaman selama 15 tahun menghasilkan produk tersebut.

Malah cecair nyah cemar yang digunakan Mydin juga adalah mesra alam dan diperakui selamat, tegas Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak Mydin telah meneliti dan amat berhati-hati dalam memilih sumber serta bahan cecair nyah cemar yang digunakan sebagai langkah pencegahan awal adalah selamat, 100 peratus tanpa alkohol dan halal.

“Kita komited serta fokus dalam memastikan keselamatan serta kesihatan pelanggan termasuk kakitangan menjadi keutamaan kami dalam apa jua perkara termasuk dalam keadaan menangani wabak Covid-19 ini.

“Cecair nyah cemar yang digunakan oleh kami mesra alam dan diperakui selamat serta tidak berbahaya kepada kulit tubuh dan mata oleh agensi United States Environmental Agency (EPA) serta Food and Drug Administration (FDA).

“Ia juga mengandungi agen anti-microbial lebih tahan lama yang jarang didapati pada cecair lain di pasaran.

“Terowong sanitasi yang digunakan kami adalah sebagai langkah pencegahan awal seperti yang disaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada masa sama kami juga melakukan pencegahan seperti menyediakan hand sanitizer, memeriksa suhu badan dan mengamalkan perjarakan sosial ketika membeli-belah.

“Pastinya kami akan pastikan semuanya baik sekali bagi memastikan pelanggan rasa selesa dan selamat ketika membeli belah termasuk lakukan sanitasi dengan kerap,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, laporan media dan saranan yang dibuat baru-baru ini meminta orang awam mengelakkan dari menggunakan dan menghasilkan terowong sanitasi telah diambil di luar konteks.

“Kenyataan ini dibuat berikutan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menggunakan sumber yang berbahaya seperti bahan kimia, alkohol, klorin dan sehinggakan ada menggunakan cecair berasaskan tablet denggi yang membahayakan tubuh manusia.

“Kami gesa agar mana-mana pihak yang ingin melakukan inisiatif sama agar mengambil langkah lebih proaktif dengan memastikan bahan digunakan adalah selamat serta tidak membahayakan pengguna.

“Kesihatan dan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami adalah menjadi keutamaan kami agar mereka dapat berbelanja dengan selamat dan selesa,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast