Foto hiasan

PUTRAJAYA – Hospital swasta seluruh negara telah menyediakan 900 katil untuk menerima pesakit bukan COVID-19 yang mungkin dipindahkan dari hospital kerajaan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya juga bersetuju untuk mengenakan bayaran tanpa keuntungan kepada kerajaan dalam masa kritikal ini.

Beliau berkata kepada Sinchew Daily, bayaran rendah itu dikenakan bagi membolehkan hospital kerajaan menumpu perhatian kepada kes COVID-19.

Katanya lagi, persefahaman itu telah dicapai antara pihak hospital swasta dengan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam satu mesyuarat telepersidangan yang diadakan pada Selasa.

Menurutnya, sesetengah pesakit barah juga perlu diberi perhatian kerana penantian selama enam minggu hingga dua bulan mungkin menyebabkan sel kanser merebak.

“Sebanyak 140 hospital swasta telah bersedia sejak dua minggu lalu dan sedang menunggu pindahan pesakit dari hospital kerajaan.

“Kami telah menyediakan satu senarai dan hospital kerajaan boleh menghubungi hospital swasta secara terus jika keadaan memerlukan,” katanya.

Dr. Kuljit berkata, hanya pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan akan dikenakan bayaran nominal sementara mereka yang mendapat rawatan secara sendiri di hospital swasta akan dikenakan bayaran biasa.

Dalam isu berlainan mengenai kos ujian COVID-19 di hospital swasta, Dr. Kuljit berkata, pihak hospital mengenakan dua jenis bayaran mengikut pesakit sedia ada dan mereka yang berkunjung sendiri untuk diuji.

“Untuk pesakit yang berisiko, mempunyai simptom atau perlu melalui ujian sebelum pembedahan, pihak hospital akan memberi sedikit diskaun iaitu mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500.

“Untuk mereka yang tidak menunjukkan simptom tetapi mahu diuji, harga pasarannya adalah antara RM350 hingga RM700,” katanya.