Hafizh Syahrin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan dana seperti yang dijanjikan kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dalam masa terdekat ini.

Dalam satu kenyataan, KBS memberitahu dana berkenaan akan diserahkan menerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bertindak selaku badan pemantau program pembangunan sukan permotoran.

“KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sudah memaklumkan perkara ini kepada Hafizh mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan beliau bagi tahun 2020 pada awal Mac lalu.

“Bantuan seumpama ini adalah satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan KBS dalam apa jua pembangunan sukan termasuk sukan permotoran yang boleh mengharumkan nama negara,” kata KBS dalam kenyataan terbabit.

Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan pelumba yang kembali beraksi dalam kelas pertengahan di Kejuaraan Motosikal Dunia itu masih belum menerima dana berkenaan.

Namun pelumba yang kini bersama pasukan Moto2, Aspar Team itu kekal positif yang pihak kementerian akan terus membantunya.

Hafizh kembali bersaing dalam kelas Moto2 musim ini selepas dua tahun beraksi dalam kelas perdana, MotoGP. – MalaysiaGazette