PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Seorang peniaga berputih mata selepas kerugian RM4,900 ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, peniaga lelaki berusia 29 tahun itu telah menerima panggilan daripada individu berkenaan, yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90.

“Mangsa yang menafikannya kemudian telah disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang untuk tujuan membuat laporan polis secara dalam talian, sebelum disambungkan kepada pegawai Bank Negara.

“Mangsa juga diminta memuat turun aplikasi MyBNM untuk tujuan keselamatan, supaya wang di dalam akaunnya tidak ditolak untuk tunggakan cukai itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Aidi Sham, mangsa yang memuat turun aplikasi berkenaan telah memasukan butiran diri, lima maklumat akuan bank, nombor pin serta kata laluan selain diminta menunggu satu hingga dua jam untuk tujuan kemas kini akaun.

“Mangsa yang kemudian menyemak satu daripada akaun banknya, mendapati sejumlah RM4,900 telah dipindahkan ke sebuah akaun tidak dikenali,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mendakwa dari badan penguatkuasa atau institusi kewangan serta tidak mendedahkan butiran diri dan perbankan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan. – Bernama