Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed diiringi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menyempurnakan gimik perlepasan kereta peronda pada Majlis Pelancaran Sistem Rondaan Aberdeen Kereta Peronda Polis MPV berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak penularan covid- 19 di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2020.

PETALING JAYA – Nampaknya selepas ini lebih ramai pengingkar tegar perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini akan berhadapan dengan hukuman lebih tegas kerana penguat kuasa tidak lagi ‘berlembut’ seperti sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh memberi amaran dan nasihat sudah tamat dan kini masanya tiba untuk bertindak tegas dalam fasa ketiga PKP yang bermula semalam 15 April hingga 28 April ini.

“Mereka sepatutnya tidak boleh memberikan alasan pada fasa ketiga ini kerana di fasa pertama dan kedua mereka sudah melalui PKP dan sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekatan pergerakan ini. Tolong jangan lagi cuba berikan alasan kali ini, masa untuk beri peluang kepada anda sudah tamat.

“Semalam sahaja dalam tempoh 24 jam pertama fasa ketiga PKP, seramai 316 orang pesalah ditangkap. Bayangkan ini dalam 24 jam sahaja.

“Keseluruhan tangkapan sejak 18 Mac hingga semalam ialah 2,255 kes dan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah PKP dan Kanun Keseksaan,” katanya selepas Pelancaran Sistem Rondaan Aberdeen di Balai Damansara Utama di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Arjunaidi berkata, penguatkuasaan polis di peringkat fasa ketiga merupakan isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kerajaan sangat serius dan tidak akan berkompromi selepas ini.

“Kita ingin berikan signal jelas kepada masyarakat, that we meant the business,” ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Sistem Rondaan Aberdeen Kereta Peronda Polis MPV berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak penularan covid- 19 di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2020.

Ditanya mengenai pelaksanaan Sistem Rondaan Aberdeen, katanya, Petaling Jaya adalah daerah pertama sistem berkenaan dilaksanakan untuk memantau kawasan perumahan dan komersial yang selama ini kurang ditinjau sepanjang PKP.

Menurutnya, Aberdeen yang merupakan salah satu bandar di Scotland mengadaptasikan kaedah polis yang diadaptasi ke daerah ini yang mana menggerakkan sistem peronda menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) polis ke kawasan rondaan masing-masing.

“Satu kenderaan terdiri daripada empat anggota dan tiga akan keluar melakukan rondaan di sesebuah kawasan perumahan atau kawasan komersial secara berjalan kaki sebelum diambil semula oleh MPV.

“Mereka akan melaksanakan rondaan selama sejam di sesebuah kawasan sebelum bergerak ke kawasan lain dan akan bertugas selama enam jam sebelum bertukar syif.

“Sekiranya ada yang melanggar arah PKP dan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kita akan bertindak tegas dan kali ini tiada kompromi berlembut atau nasihat.. mahkamah menanti mereka,” ujarnya.

Menurut beliau Sistem Aberdeen akan dikaji keberkesanannya di PJ dari semasa ke semasa dan akan ditambahbaik perkhidmatan itu.

Bagi tujuan itu kesemua kekuatan rondaan MPV polis dengan anggota tentera selaku sahabat ronda akan dikerah sepenuhnya sementara.

“Dalam sistem aberdeen kita berikan kebebasan kepada ketua polis setiap daerah memikirkan cara baik ikut persekitaran masing-masing untuk mengawal jenayah serta mendisiplinkan masyarakat mematuhi perintah kerajaan,” tegasnya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast