Datuk Saifudin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk memberikan RM1,325,560.11 Dana Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada beberapa syarikat penerbitan filem yang layak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ITFC tersebut selain membantu meringankan beban akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam masa yang sama menggalakkan untuk penerbitan filem tempatan menerbitkan karya.

Perkara itu ujarnya diputuskan bersama-sama pihak pengurusan tertinggi KKMM dan setelah mendengar pandangan daripada wakil penggiat seni.

“Pada 26 Mac saya telah mengadakan sidang video dengan wakil-wakil persatuan-persatuan penggiat seni. Di samping itu, saya juga telah menerima cadangan-cadangan daripada warga penggiat seni, termasuk penggiat filem.

“Dalam hal ini pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah mengangkat satu cadangan khusus iaitu tentang Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sebuah insentif bertujuan untuk membantu menggalakkan penerbit filem terus menghasilkan filem tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Saifuddin, Finas akan bertanggungjawab menghubungi syarikat-syarikat yang terpilih dalam waktu terdekat.

Saifuddin berharap insentif ini akan dapat membantu syarikat yang layak menerima untuk terus menerbit dan memasarkan hasil karya filem untuk pasaran pasaran dan global.

Dalam masa yang sama beliau memaklumkan sedang berbincang dengan pelbagai pihak pemegang taruh dan meneliti beberapa laporan penting dalam usaha bersepadu memperkasakan industri kreatif negara.-MalaysiaGazette