Mohd Azhan Shafriman Haniff

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang baharu, Mohd. Azhan Shafriman Haniff berjanji perkara pertama menjadi tumpuannya ialah untuk mengukuhkan semula kedudukan kewangan SIC.

Sambil mengakui jawatan yang diamanahkan kerajaan itu berat dan mencabar, beliau bagaimanapun menyatakan keyakinannya atas pengalamannya selaku bekas Ketua Perikatan Strategik Jabatan Penjenamaan Petronas akan membantu melakukan penambahbaikan yang dikehendaki dalam SIC.

Menurutnya, dalam keadaan kritikal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan Covid-19, beliau dan pasukan menggalas tugas penting memartabatkan semula SIC.

“Ini satu kebanggaan untuk saya dipilih menerajui jawatan yang ditinggalkan bekas CEO yang melaksanakan tugasnya dengan terbaik.

“Bukan mudah untuk mengisi kasut dia (Datuk Razlan Razali). Saya akan melakukan segala yang terbaik untuk melonjakkan pendapatan syarikat,” katanya dalam sesi perbincangan secara santai bersama pemberita sukan dalam Googlehangout hari ini.

Ditanya samada beliau akan meneruskan segala rancangan yang dirancang Razlan, Mohd. Azhan memaklumkan pelan utama yang dirancang untuk SIC berkaitan dengan soal infrastruktur atau fasiliti mahupun kebajikan pekerja akan diteruskan olehnya.

Menurutnya, SIC bukan sesuatu asing untuk beliau sebaliknya kerjasama dengan entiti itu sejak bertugas di Petronas.

“Pertama pasal pelan saya untuk jangka pendek saya mahu mengkaji punca kelemahan kewangan dan perniagaan SIC dan mahu strategikan semula bagaimana untuk keluar dari ketidaktentuan ekonomi ini.

“Banyak benda boleh dan perlu diperbaiki dari segi meminimakan kos operasi dan perbelanjaan selain menjimatkan tenaga kerja termasuk good governance akan diberi fokus utama.

“Untuk jangka masa panjang perlu duduk dan berbincang dengan semua rakan kongsi strategik SIC khususnya mengenai kolaborasi untuk memikirkan dan merangka pelan ekonomi yang boleh memanfaatkan kedua dua pihak,” ujarnya.

Justeru, beliau tidak mahu menyalahkan situasi Covid-19 tetapi akan berikhtiar dengan pasukan pengurusannya untuk mencari jalan mewujudkan pendapatan tambahan dari situasi semasa.

Tambah beliau, menjalinkan kolaborasi dengan rakan niaganya dan mempertimbangkan cadangan sukan perlumbaan maya (virtual race) dan perlumbaan tanpa pengunjung di litar atau e-games antara perkara yang difikirkannya.

Tetapi katanya, pemotongan kos pekerja tidak timbul dalam perkara berkenaan sambil memberi jaminan tidak akan ada pemotongan gaji kakitangan atau pengurangan tenaga kakitangan kerja.

“Buat masa ini tidak ada pemotongan gaji kakitangan tapi sudah menetapkan garis panduan memastikan pengoperasian tahap kerja minimum untuk mengurangkan kosnya menggunakan jumlah kakitangan yang kurang 100 orang.

“Kesemua kakitangan kami sudah bersedia menyahut cabaran meneruskan kehidupan norma yang baharu selepas Covid-19.

“Kita lihat beberapa senario sekiranya perlumbaan motor GP atau lain lain sukan litar tidak dapat diadakan di sini, maka perlu cari senario alternatif dan akan bincang dengan KBS untuk adalah perlumbaan tertutup tanpa penonton berskala kecil dan penjarakan sosial di dalam SIC,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast